arena

Steven Gerrard ganti Klopp?

Oleh Agensi

London: Steven Gerrard disenaraikan sebagai pengganti Jurgen Klopp selepas masa depan pengendali dari Jerman itu di Anfield mula mencetuskan spekulasi.

Dipercayai Klopp yang menamatkan kemarau 30 tahun gelaran Liga Perdana akan bersetuju menggantikan Joachim Low sebagai pengurus skuad antarabangsa Jerman.

Klopp calon paling hangat pilihan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) dan mereka akan memulakan langkah sejurus masa depan Low diputuskan.

Low mengendalikan pasukan sejak 2006 dengan membawa Jerman muncul juara Piala Dunia 2014 tetapi berdepan kekecewaan pada Piala Dunia 2018 dan Liga Negara Uefa.

Walaupun berdepan kritikan hebat, dia masih kekal bertugas dengan kontraknya melepasi pusingan akhir Kejohanan Eropah musim panas ini dan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Dijangka Low tidak bertahan lama berdasarkan kempen Euro yang hambar dan bakal memberikan laluan lebih awal kepada Klopp.

Menurut sumber Liverpool, Klopp sudah pasti sukar menolak tawaran itu walaupun dia gembira di Merseyside.

Itu antara punca mengapa pemilik Liverpool, John W Henry dan pengerusi, Tom Werner memantau penuh minat hasil kerja Gerrard di Rangers.

Legenda Liverpool itu kini hanya menunggu masa menjulang trofi Liga Perdana Scotland dan ia menambahkan lagi keyakinan terhadap kemampuan Gerrard bersama penolongnya yang juga bekas bintang Anfield, Gary McAllister untuk menjadi calon pengganti Klopp paling berwibawa.

Usaha menarik minat Gerrard turut mendapat sokongan kuat legenda Anfield, Sir Kenny Dalglish yang kagum dengan keupayaannya bersama Rangers. Gerrard turut menyinar ketika mengendalikan akademi Liverpool selepas bersara sebagai pemain.

Hierarki Liverpool turut yakin Gerrard akan menolak sebarang tawaran daripada mana-mana kelab Liga Perdana dengan Anfield kekal dalam peta kariernya–

Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 3:02pm
d