arena

Kane, Haaland mampu atasi masalah United

Oleh Agensi

London: Manchester United perlu menyasarkan Harry Kane atau Erling Haaland bagi mengisi posisi penyerang tengah, menurut legenda kelab, Mark Hughes.

United meledak jaringan terbanyak Liga Perdana musim ini dengan 53 gol tetapi mereka bergelut memecah pertahanan beberapa kelab sebelum ini.

Red Devils seri 0-0 dengan Chelsea di Stamford Bridge pada Ahad lalu dan ia keputusan seri tanpa jaringan keempat berturut-turut menentang enam pasukan besar dan gagal menjaringkan gol dalam mana-mana enam perlawanan menentang pasukan terbabit.

Edinson Cavani dibawa masuk menerusi yuran percuma pada awal musim dan tidak menghampakan tetapi pemain Uruguay berusia itu bukanlah pilihan jangka panjang.

Marcus Rashford, Anthony Martial dan Mason Greenwood kesemuanya berpeluang beraksi di posisi tengah jentera serangan tetapi Hughes yang cemerlang di Old Trafford antara 1980-1986 dan d 1988-1995 tidak yakin mereka akan selesa di bahagian itu.

Dia berpendapat penyerang Tottenham, Kane dan bintang muda Borussia Dortmund, Haaland memiliki ramuan lengkap diperlukan Ole Gunnar Solskjaer jika mahu terus mencabar pendahulu liga, Man City.

"Saya banyak tonton aksi United dan mereka miliki kualiti yang bagus di bahagian depan. Antaranya Rashford dan Greenwood," katanya kepada Sky Sports.

"Bagi saya mereka patut mendapatkan Cavani lima tahun lalu ketika dia di kemuncak pretasi dan mereka mungkin mendapatkannya sekarang pada masa yang salah.

"Tetapi dia masih lagi penyerang tengah yang baik. Martial, Rashford dan Greenwood pula semuanya mahu beraksi di posisi lebih bawah. Rashford dan Martial memilih beraksi di sebelah kiri manakala Greenwood lebih memilih bahagian kanan.

"Mereka cuba beraksi di tengah tetapi anda boleh rasakan tiada siapa yang benar-benar mahu menggalas posisi itu. Jadi kelab perlu mencari seseorang yang berkualiti di poisisi itu dan memberikan mereka lebih fokus.''

Ketika ditanya sama ada Kane atau Haaland boleh memberi penyelesaian kepada United di bahagian itu, Hughes berkata: "Mereka adalah pemain yang perlu dimiliki. Tetapi pastinya United perlu bersaing dengan banyak kelab besar yang tahu keupayaan kedua-dua pemain ini.''

Disiarkan pada: March 2, 2021 @ 9:33am
d