arena

Henry minat kendali Arsenal

Oleh Agensi

Paris: Thierry Henry mengakui menjadi impiannya menjadi pengurus Arsenal suatu hari nanti.

Legenda Gunners, Henry kurang berjaya mengendalikan pasukan ketika bersama Monaco dan meninggalkan tugas di Montreal untuk kembali dekat dengan keluarganya.

Tetapi bekas bintang Perancis itu tidak berputus asa dan masih berminat untuk mengendalikan kelab yang menyaksikan rekodnya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman masih belum diatasi dan tugu Henry berdiri gagah di luar stadium.

Bercakap kepada FourFourTwo, Henry yang berusia 43 tahun berkata: "Dengar, jika anda bertanya kepada penyokong Arsenal jika mereka mahu menjadi jurulatih Arsenal suatu hari nanti, mereka akan berkata ya.

"Jika anda tanya penyokong Arsenal adakah mereka mahu menjaringkan gol untuk Arsenal, mereka berkata ya. Apabila saya bercakap mengenainya, ia menggembirakan mereka.

"Mereka bangga apabila saya berkata ia adalah kelab saya. Ia ada dalam darah saya. Saya penyokong Arsenal.

"Arsenal sebahagian daripada saya dan akan selalu begitu. Sebahagian hati saya bersama Arsenal dan separuh lagi milik keluarga saya. Kenangan indah bersama penyokong Arsenal sukar digambarkan, ia sesuatu yang amat saya rindukan.

"Jadi jika anda tanya adakah saya mahu menjadi jurulatih Arsenal suatu hari nanti, jawapannya ya. Jika anda tanya sama ada saya mahu menjadi petugas di bilik persalinan, ya dan jika anda tanya sama ada saya sedia jadi pemotong rumput di Stadium Emirates, sudah pasti ya.''

Harapan Henry mengendalikan Bournemouth musnah selepas Montreal menolak tawaran kelab Liga Kejuaraan itu bulan lalu.

Dia kemudiannya meninggalkan kelab MLS itu apabila mahu lebih dekat dengan keluarga dan kini mencari cabaran baharu.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 11:18pm
d