arena

Hajat taikun Malaysia beli Wigan punah

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Hasrat ahli perniagaan dari Malaysia untuk memiliki saham dalam kelab Wigan Athletic berkecai apabila kelab yang beraksi dalam Liga Satu England itu dijangka dibeli syarikat gergasi dari Bahrain, Kumpulan Phoenix.

Menurut laporan media England, kekuatan kewangan yang kukuh serta perbelanjaan tunai untuk membawa masuk pemain difahamkan faktor utama Kumpulan Phoenix mendapat kepercayaan daripada Ahli Lembaga Pengarah kelab terbabit.

Ia sekali gus mengetepikan peluang ahli perniagaan negara ini yang diura-ura berminat untuk membeli Wigan Athletic yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) serta menjuarai Piala FA pada 2013 dengan menewaskan Manchester City1-0 di pentas final.

Bagaimanapun, setahun kemudian skuad The Latics itu mengalami kemerosotan prestasi sehingga jatuh ke divisyen kedua iaitu Liga Kejuaraan sebelum turun lagi ke divisyen ketiga (Liga Satu) pada 2015.

Situasi goyah itu membuatkan kelab terbabit mengalami penyusutan nilai dengan harga penjualan Wigan Athletic pada harga serendah £3 juta atau sekitar RM17 juta.

Lantas, menerusi harga cukup rendah itu, ia mendorong ramai pihak untuk cuba membeli kelab itu termasuklah rakyat Malaysia yang menubuhkan sebuah konsortium dalam usaha membida bagi mengambil alih kelab berkenaan.

Selain seorang ahli perniagaan dari Malaysia, difahamkan konsortium terbabit turut dianggotai bekas pengerusi Wigan, bekas pemain Manchester United dan ahli perniagaan berpengalaman.

Sekiranya berjalan lancar, ahli perniagaan dari Malaysia itu akan menjadi pemegang saham kedua terbesar kelab, dengan pemilikan sebanyak 20 peratus.

Ahli perniagaan dari Malaysia itu bercadang untuk membina akademi baharu selain membuka cawangan di Malaysia sebagai jambatan untuk pemain muda negara beraksi bersama Wigan pada masa akan datang.

Untuk rekod, sebelum ini terdapat tiga rakyat Malaysia yang pernah mengendalikan kelab di luar negara iaitu Tan Sri Vincent Tan yang memiliki tiga kelab iaitu Cardiff City (Wales), KV Kortrijk (Belgium) dan FK Sarajevo (Bosnia).

Dua lagi tokoh yang pernah terbabit dengan kelab di Eropah ialah Tan Sri Tony Fernandes bersama Queens Park Rangers (England) dan Datuk Dr Noordin Ahmad dengan FC Bari (Itali), namun kedua-duanya sudah melepaskan kelab masing-masing atas pelbagai faktor terutama kewangan.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 11:57pm
d