arena

Harimau Malaya berentap di UAE

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Teka teki venue Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 akhirnya terjawab apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memilih Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai gelanggang tetap untuk menghabiskan baki aksi Kumpulan G secara karnival.

Ia diumumkan AFC di laman Facebook badan induk itu yang menyaksikan lima pasukan dari Kumpulan G iaitu tuan rumah, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia akan beraksi di negara Asia Barat itu.

Tarikh bagi perlawanan terbabit juga sudah ditetapkan bermula pada 3 hingga 15 Jun depan.

Pemilihan UAE itu sekali gus menamatkan teka teki sebelum ini di mana selain UAE, Thailand juga difahamkan menghantar permohonan untuk dipilih sebagai tuan rumah.

Dengan keputusan itu, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sudah boleh merangka strategi terbaik terutama dalam memastikan anak buahnya dapat menyesuaikan diri beraksi pada suhu panas sekitar 40 darjah Celsius di UAE Jun depan.

Untuk rekod, Malaysia akan turun menentang UAE pada 3 Jun sebelum berdepan Vietnam lapan hari kemudian.

Aksi penutup kempen kelayakan itu pula menyaksikan Harimau Malaya akan menghadapi tentangan Thailand pada 15 Jun depan.

Dua stadium dicadangkan oleh tuan rumah iaitu Stadium Zabeel dan Stadium Al Maktoum sebagai venue rasmi semua perlawanan Kumpulan G itu.

Malaysia setakat ini berada di tangga kedua kumpulan dengan sembilan mata, kurang dua mata di belakang pendahulu, Vietnam.

Sementara itu, kesukaran bagi mendapatkan pasukan luar negara untuk hadir ke Malaysia selain prosedur operasi standard (SOP) yang ketat menyebabkan skuad Harimau Malaya terpaksa mencari pasukan tempatan untuk menguji kekuatan anak didik Cheng Hoe.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, alternatif itu sememangnya ada dibincangkan bersama Cheng Hoe untuk memastikan latihan pusat skuad negara pada 20 Mac ini tetap diuji dengan aksi persahabatan.

Disiarkan pada: March 12, 2021 @ 9:15pm
d