arena

CR7, Beckham bergabung?

Oleh Agensi

Turin: Cristiano Ronaldo dilaporkan berhubung dengan David Beckham mengenai perpindahan ke Inter Miami.

Ia berlaku selepas Juventus sekali lagi tersingkir awal daripada saingan Liga Juara-Juara. Kali ini di tangan Porto. Ia hari yang mahu dilupakan oleh CR7 yang berdepan kritikan apabila berpaling memusingkan badan ketika sepakan percuma yang membawa kepada jaringan kedua Porto.

Kontrak Ronaldo sekarang tamat pada musim panas 2022 dan masa depannya mendapat perhatian serius pengurusan Juve.

Menjulang trofi Liga Juara-Juara menjadi impian selepas Ronaldo berpindah dari Real Madrid pada 2018.

Namun kini, dia mengimpikan lebih jauh lagi. Pada usia 36 tahun, dia mula memikirkan fasa baharu dalam kariernya.

Rundingan kontrak dengan Juventus belum bermula tetapi Inter Miami mungkin boleh menawarkan alternatif.

Menurut Todofichajes, Ronaldo dilaporkan berhubung dengan pemilik kelab di Amerika Syarikat (AS) itu, Beckham mengenai perpindahan.

Laporan juga menyebut superstar itu telah memilih AS sebagai destinasi seterusnya apabila masanya di Juventus tamat.

Inter Miami turut mampu membayar gaji sama seperti gajinya di kelab Itali itu dan sedia menawarkan kontrak tiga tahun yang pastinya menarik minat Ronaldo.

Disiarkan pada: March 12, 2021 @ 9:42pm
d