arena

Pearly Tan-M Thinaah perlu kerja keras

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Masih banyak lagi yang perlu dipelajari beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah biarpun berjaya merangkul kejuaraan sulung, Terbuka Switzerland hujung minggu lalu.

Menurut ketua jurulatih beregu wanita negara, Chan Chong Ming, masih ada jurang antara pasangan berkenaan jika dibandingkan dengan kelompok beregu terbaik dunia yang lain. "Saya harap mereka akan terus bekerja keras bagi meningkatkan lagi prestasi sekali gus mampu mencipta lebih banyak kejutan ke atas lawan mereka," kata Chong Ming. Pearly-Thinaah yang mula digandingkan pada 2019 ketika di bawah bimbingan ketua jurulatih ketika itu, Rosman Razak melakar sejarah peribadi dengan kali pertama menjuarai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300.

Mereka yang berada di ranking ke-30 dunia mengejutkan pasangan adik beradik dari Bulgaria, Stefani Stoeva-Gabrieal Stoeva 21-19, 21-12 pada aksi final Terbuka Switzerland yang berlangsung di Basel.

Mereka sebelum ini menjuarai tiga kejohanan bertaraf lebih rendah Siri Antarangsa Malaysia, Cabaran Antarabangsa India dan Cabaran Antarabangsa Bangladesh pada 2019. Pearly-Thinaah masih berada di Basel bagi membuat persiapan menghadapi saingan Seluruh England yang akan berlangsung bermula 17 hingga 21 Mac ini di Birmingham.

Mereka akan membuka tirai kempen kejohanan berprestij itu menentang pilihan keempat dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai untuk aksi pusingan pertama.

Disiarkan pada: March 12, 2021 @ 10:06pm
d