arena

England ketepi Pickford

Oleh AFP

London: Penjaga gol Everton Jordan Pickford diketepikan daripada skuad England bagi tiga aksi kelayakan Piala Dunia selepas mengalami kecederaan.

Penjaga gol utama England itu terpaksa dikeluarkan sejurus sebelum rehat ketika pasukannya tewas mengejut 1-2 kepada Burnley dalam saingan Liga Perdana, Ahad lalu.

Pickford menjalani ujian imbasan kelmarin dan Everton sahkan dia tersisih tiga aksi antarabangsa bulan ini selepas mengalami kecederaan otot perut.

Everton mengesahkan Pickford akan terus kekal di bawah pemantauan petugas perubatan kelab di USM Finch Farm ketika sesi rehat antarabangsa sekaligus terlepas aksi menentang San Marino, Albania dan Poland.

Penjaga gol berusia 27 tahun itu yang mengalami nasib sama bulan lalu akibat kecederaan dada turut terlepas aksi suku akhir Toffees menentang pendahulu Liga Perdana, Manchester City pada Sabtu ini.

Pengurus England, Gareth Southgate akan menamakan pasukannya minggu ni dengan penjaga gol Burnley, Nick Pope dan penjaga gol Manchester United, Dean Henderson bersaing merebut posisi nombor satu.

Pickford antara tonggak yang membantu England mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 tetapi beberapa kesilapan besar dilakukan sejak dua musim lalu memaksa Southgate memberi peluang kepada Pope atau Henderson untuk merampas kedudukan dalam kesebelasan utama menjelang Kejohanan Eropah pada musim panas.

Disiarkan pada: March 17, 2021 @ 10:22am
d