arena

Mbappe amuk kubu Lille

Oleh AFP

Paris: Paris Saint-Germain mara ke suku akhir Piala Perancis selepas menewaskan pendahulu Ligue 1, Lille 3-0, pagi tadi.

Kemenangan itu menebus kekalahan mengejut PSG kepada Nantes di tempat sendiri hujung minggu lalu yang turut dicemari insiden memecah masuk rumah Angel Di Maria dan Marquinhos ketika perlawanan berlangsung.

"Kami berdepan detik sukar beberapa hari lalu, pemain dan keluarga,'' kata pengurus PSG, Mauricio Pochettino.

"Tiada siapa bersedia dengan situasi ini. Pemain menjalankan tugas dengan cemerlang, kekal fokus, tahap minda mereka luar biasa. Angel dan Marquinhos tetap tenang."

Pemain tengah Lille, Benjamin Andre mengakui mereka dihukum akibat kesilapan sendiri.

"Ia selalu sama, menentang Paris di tempat mereka tidak boleh lalai,'' katanya.

Hantaran Di Maria ke dalam kotak penalti pada minit ke-9 gagal disekat dengan sempurna pertahanan Lille, Tiago Djalo. Penjaga gol, Mike Maignan menampan bola yang kemudiannya pantas disambar Mauro Icardi untuk gol pendahuluan.

Icardi mengalami kecederaan pada minit ke-36 dan digantikan Kylian Mbappe yang meledak penalti empat minit kemudian selepas dia dijatuhkan oleh Zeki Celik.

Mbappe sekali lagi menggegar gawang pelawat pada masa kecederaan menerusi rembatan melepasi jangkauan Maignan untuk gol ketiga PSG.

Selepas PSG berkunjung ke Lyon pada Ahad ini dan Lille menentang Nimes, kedua-dua pasukan bertembung sekali lagi Parc des Princes sebelum rehat antarabangsa.

Disiarkan pada: March 18, 2021 @ 6:35am
d