arena

Fury 'kena lanyak' sebelum lawan AJ

Oleh Agensi

London: Jurulatih Tyson Fury, SugarHill Steward sedia menggunakan kaedah 'old school' iaitu mengaturkan 10 pertarungan pemanas badan dalam masa beberapa hari sebelum menentang Anthony Joshua.

Pertarungan paling ditunggu antara juara heavyweight WBC itu dengan pencabar senegara, AJ akhirnya disahkan awal minggu ini.

Kedua-dua jaguh menandatangani kontrak £200 juta (RM1.147 bilion) dengan dua pertarungan tahun ini bagi menentukan juara sebenar heavyweight.

Tarikh dan venue belum ditentukan walaupun peringkat pertama dijangka pada Jun depan di Timur Tengah.

Fury, 32, tidak bertarung sejak menewaskan Deontay Wilder pada Februari 2020.

Tetapi SugarHill mempunyai perancangan bagi memastikan Fury dalam keadaan terbaik.

Menurutnya kepada media: "Ingatkah anda kepada filem Diggstown dengan Louis Gossett Jr berentap dengan 10 lelaki dalam masa beberapa hari? Jadi mari kita lakukan perkara sama kepada Tyson. Biar dia bertarung dalam masa sebulan.

"Jika dia bersedia, kita akan aturkan pertarungan menentang 10 petinju terbaik. Latihan tinju kaedah lama seperti dilakukan Ray Robinson, mereka bertarung kemudian bertarung lagi tiga minggu kemudian.

"Kenapa tak bertarung jika anda sedia? Ramai petinju mahu bertarung sekali atau dua kali setahun dan jika anda sudah sedia tiada sebab anda tak boleh bertinju.

"Saya berkata kepada Tyson dan dia hanya tersenyum. Saya tak fikir dia susah hati. Dia hanya tersenyum dan ketawa. Itu sudah karakternya, dia petinju sejati."

Disiarkan pada: March 18, 2021 @ 9:00am
d