arena

Hamilton bimbang ancaman Red Bull

Oleh Agensi

London: Lewis Hamilton percaya Red Bull adalah pasukan berbeza tahun ini yang mampu memecah dominasi tujuh tahun Mercedes di Formula Satu (F1).

Juara bertahan Hamilton berdepan ujian pramusim mengecewakan selepas keretanya terbabas dua kali akibat kesilapan sendiri.

Pelumba Britain itu mengakui pencabar dari Milton Keynes itu mampu menjadi pilihan untuk menjuarai perlumbaan pembukaan musim di Bahrain pada 28 Mac.

Katanya: "Mereka boleh menjadi pasukan pilihan jika mereka mahu. Maksud saya, mereka tampak kuat. Saya tak benar-benar fokus dan mereka pula nampak lancar.

"Kedua-dua pemandu mereka agak kuat dan bersemangat. Mereka akan menjadi mesin atau 'haiwan' berbeza tahun ini dengan pemandu dan kereta yang bagus.''

Penasihat Red Bull, Helmut Marko turut gembira dengan prestasi pasukan ketika tiga sesi ujian menyaksikan Max Verstappen mencatat kelajuan terpantas.

Tetapi dia bimbang dengan Mercedes yang masih menggunakan kereta sama yang muncul juara musim lalu pada perlumbaan pembuka tirai pada 2021.

Menurutnya: "Ia ujian terbaik sejak Red Bull Racing ditubuhkan. Semuanya berjalan lancar dari permulaan tetapi kita tahu Mercedes pasukan pilihan. Saya rasa mereka memandu dengan lebih bahan api berbanding kami.

"Kami pencabar pertama mereka, jadi kita tunggu situasi selepas ini. Di belakang mereka, ia akan menjadi pertarungan dan saya fikir McLaren juga tidak boleh dipandang ringan walaupun tidak berada pada tahap sama dengan Mercedes atau kami tetapi jurang itu semakin mengecil.''

Disiarkan pada: March 18, 2021 @ 10:07am
d