global

Harimau bintang masuk asrama

Oleh Agensi

New Delhi: Sekumpulan wanita di Guwahati, Assam, India, berdepan detik cemas apabila mendapati harimau bintang di dalam bangunan asrama didiami mereka.

Hindustan Times melaporkan pemilik asrama, Mousumi Bora juga hampir menyentuh harimau berkenaan yang disangka pakaian yang tersangkut di bawah sofa.

Namun, Bora terselamat selepas menyedari ia bukannya baju tetapi seekor harimau bintang.

Berikutan itu, Bora dan 15 penghuni lain berkurung di dalam bilik mereka sambil memaklumkan penemuan harimau berkenaan kepada Jabatan Perhutanan.

Susulan itu, polis dibantu petugas Zoo Assam dan Bahagian Hidupan Liar dan Wilayah bergegas ke lokasi untuk menangkap haiwan itu.

Lebih empat jam diambil oleh pegawai terbabit untuk menenangkan harimau itu yang masih berkeliaran di sekitar kawasan perumahan hingga menakutkan penduduk walaupun sudah ditembak dengan pelali.

Pegawai Perhutanan Wilayah, Tejas Marismawy berkata, misi menangkap harimau itu akhirnya berjaya dan ia dibawa ke Zoo Assam, kira-kira jam 11 pagi.

"Doktor veterinar melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti sama ada terdapat kecederaan pada harimau berkenaan.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan harimau itu menceroboh masuk asrama berkenaan pada awal pagi menerusi jeriji besi sebelum terperangkap di bawah sofa," katanya.

Menurut pihak berkuasa, harimau bintang itu akan dipasangkan dengan cip mikro pada badannya sebelum dilepaskan ke habitat asalnya.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 7:00am
d