global

Wanita campur darah haid, air kencing dalam makanan

Oleh Agensi

Singapura: Seorang wanita dihadapkan ke mahkamah di sini, atas tuduhan mencampurkan darah haid dan air kencingnya ke dalam makanan untuk penghuni sebuah flat di Sengkang.

Tertuduh, Canares Rowena Ola, 43, yang berasal dari Filipina, menghadapi satu tuduhan salah laku, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun dan denda.

Wanita itu sebelum ini dijangka membuat pengakuan bersalah pada hari Rabu (2 Disember) tetapi mengubah fikiran ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di mahkamah daerah.

Timbalan Pendakwa Raya Keith Jieren Thirumaran memberitahu Hakim Daerah Marvin Bay bahawa Ola sebelumnya mengakui kesalahan itu dalam beberapa kenyataan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Straits Times melaporkan tiada butiran mengenai hubungan antara wanita itu dengan mangsa.

Tiada juga dinyatakan sebab wanita itu bertindak melakukan perbuatan itu, pada Disember 2018.

Mahkamah diberitahu bahawa makanan itu sudah dimakan dan tiada ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan.

Ola diwakili oleh peguam bela Kalaithasan Karuppaya, dan pengurusan kesnya ditetapkan pada 25 Januari depan.

Sebelum ini, seorang pembantu rumah warga Indonesia dipenjara enam bulan dan tujuh minggu pada Januari selepas mengaku salah mencampurkan darah haid, air kencing dan air liurnya dalam makanan dan minuman.

Tertuduh dikenali sebagai Diana, 30, diambil bekerja oleh sebuah keluarga di Punggol untuk bekerja sebagai pemantu rumah, pada 2017.

Diana dipercayai melakukan perbuatan itu supaya majikannya tidak akan memarahinya.

Wanita juga didapati bersalah mencuri wang 13,000 Dolar Singapura daripada majikannya dalam lima kejadian antara Ogos 2017 dan Jun 2018.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 11:30am
d