global

Serumah dengan 1,300 anjing

Oleh AFP

Chongqing: Dua puluh tahun lalu, Wen Junhong menyelamatkan seekor anjing terbiar di daerah yang terletak di barat daya China ini, sejak itu hidupnya berubah.

Wanita berusia 68 tahun itu kini menetap di kediamannya bersama 1,300 anjing dan jumlah itu seakan tidak berhenti setakat itu saja.

Wen mengakui, selepas mengambil anjing pertama itu, anjing jenis Pekinese dinamakannya Wenjing - lemah lembut dan pendiam dalam bahasa Cina - dia tidak dapat berhenti daripada terus mengambil anjing terbiar untuk dipelihara.

Katanya, dia juga terdorong untuk mengambil anjing terbiar kerana bimbang haiwan itu terbabit kemalangan dan juga dibunuh untuk dijual dagingnya.

"Penting untuk menjaga anjing (terbiar) ini," katanya. "Kita harus menghormati kehidupan dan bumi bukan hanya untuk manusia tetapi juga untuk semua binatang."

Memelihara anjing sebelum ini diistilahkan sebagai hobi 'borjuasi' dan dilarang di bawah pimpinan Pengasas Komunis China, Pengerusi Mao.

Bagaimanapun, ia berubah secara dramatik sejak kebelakangan ini dan pemilikan haiwan peliharaan semakin meningkat di China.

Negara itu juga masih belum memiliki undang-undang kesejahteraan haiwan di peringkat nasional dan ada puluhan juta anjing serta kucing terbiar dengan mudah ditemui di setiap jalan di negara itu, menurut AnimalsAsia.

Haiwan terbiar jarang disterilkan di China, ia memburukkan lagi masalah lambakan haiwan itu di jalanan sekali gus memberi tekanan kepada pusat penyelamatan haiwan yang kekurangan dana.

Bercerita lanjut mengenai Wen, dia bukan saja mengambil haiwan terbiar, malah ada juga yang meninggalkan haiwan peliharaan di halaman depan rumahnya, bagaimanapun Wen mengatakan lebih banyak menerima anjing.

Wen sebenarnya tidak hanya memelihara anjing, dia juga berkongsi kediamannya bersama 100 kucing, empat kuda dan sebilangan arnab serta burung.

Rutin hariannya bermula seawal jam 4 pagi dengan membersihkan 20 hingga 30 tong sisa kotoran anjing, selain perlu memasak lebih daripada 500 kilogram beras, daging dan sayur-sayuran untuk haiwan peliharaannya.

Di rumahnya itu, mudah melihat anjing berlari bebas, sementara seekor anjing jenis pit bull tertambat di pintu belakang kediaman itu dan akan menggeram serta menyalak pada orang yang tidak dikenali.

Setiap bilik di rumah dua tingkat itu penuh dengan kandang, bertimbun antara satu sama lain.

Rumah dikelilingi pagar dan gerbang terkunci di lokasi terletak di lereng bukit itu adalah kediaman baharu Wen yang sebelum ini kerap berpindah-randah berikutan rungutan jiran serta penduduk setempat.

Wen membiayai perbelanjaan menguruskan semua haiwan terbiar itu dengan hasil penjualan apartmennya sebelum ini, membuat pinjaman hingga 60,000 yuan (RM37,361), wang pencen dan simpanannya ketika bekerja sebagai juruteknik alam sekitar.

Dia juga menerima sumbangan daripada orang ramai selepas kisahnya tersebar di media sosial dengan jolokan 'Chongqing Auntie Wen'.

Di rumahnya itu, sebilangan anjing dewasa dibiarkan bebas, manakala anjing kecil lazimnya ditinggalkan dalam kandang.

"Sekiranya semua anjing dibebaskan, mereka akan 'bergaduh'," kata Wen yang ketika ini dibantu enam pekerja.

Meskipun dengan cinta mendalamnya terhadap haiwan, bahkan dibantu pekerjanya, Wen mengakui memelihara haiwan terbiar tugas yang mencabar.

"Ia sangat sukar," dia meratap. "Banyak anjing yang akan dipelihara, ruang untuk mereka semakin kecil."

Disiarkan pada: December 7, 2020 @ 4:27pm
d