global

Hidup berteman sampah

Oleh Agensi

New York: Menyedihkan apabila seorang wanita yang hidup sebatang kara di Amerika Syarikat (AS) menjalani rutin harian bertemankan sampah bertimbun dalam rumahnya sejak 20 tahun lalu.

Sylvie, 60, yang menderita kemurungan tidak menerima sebarang pelawat sejak puluhan tahun lalu menghadapi kesukaran menguruskan dirinya.

Akibatnya, segenap ruang rumahnya penuh dengan sampah-sarap hingga dia tidak mampu masuk ke tandas serta dapur.

Wanita itu juga meneruskan hidupnya menggunakan lampin pakai buang berikutan tidak dapat masuk ke tandas rumahnya sendiri.

Menurut Sylvie, sampai satu tahap dia terpaksa duduk di depan pintu kerana semua ruang sudah dipenuhi hampir 30 tan sampah bertimbun.

"Ini sangat teruk, saya rasa sangat malu. Tetapi saya tidak dapat uruskannya kerana kemurungan dialami.

"Di mana-mana saja ruang dari lantai sampai ke siling dipenuhi sampah sampaikan saya terpaksa tidur di atasnya.

"Saya hanya gunakan bilik air jika saya dapat memanjat sampah, malah saya juga tak dapat masuk ke dapur," katanya kepada Leeds Live yang dipetik portal The Sun.

Penderitaan Sylvie berakhir selepas jirannya menyedari wanita itu tidak pernah membuang sampah di luar rumah sebelum mereka mendapatkan bantuan Michaela Shaw yang bekerja dengan badan amal, Community Bees.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 6:55am
d