global

Taliban takluk Mazar-i-Sharif

Oleh AFP

Kabul: Taliban menakluk bandar utara Afghanistan, Mazar-i-Sharif yang berdekatan dengan Kabul ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menghantar lebih ramai tentera menyelamatkan kakitangan AS bersama keluarga mereka.

Kejatuhan Mazar-i-Sharif yang pernah menjadi kubu anti-Taliban berlaku tidak lama selepas Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani memberi ucapan bahawa dia akan berusaha mengelak lebih banyak pertumpahan darah walaupun kekalahan yang dialami oleh pasukan tentera kerajaan dalam tempoh 10 hari lalu.

Namun, Ghani yang melawat Mazar-i-Sharif beberapa hari sebelum bersama pasukan tentera negara itu tidak mempunyai sebarang petunjuk sama ada beliau akan bertanggungjawab dengan kejatuhan pasukan ketenteraan atau meletak jawatan.

Kabul kini menjadi kawasan terakhir kepada pasukan pertahanan kerajaan yang tidak lagi terdaya memberi tentangan.

Pemberontak kini mendirikan khemah hanya 50 kilometer (km) dari Kabul ketika AS dan negara lain bergegas memindahkan warga masing-masing dari ibu kota Afghanistan ekoran kebimbangan terhadap berlaku serangan.

Anggota tentera AS dihantar ke Afghanistan untuk mengawasi pemindahan pegawai kedutaan dan ribuan warga Afghanistan yang bekerja dengan AS kini dalam ketakutan dengan serangan Taliban.

Biden memaklumkan AS akan menghantar lebih banyak anggota tentera untuk proses evakuasi itu.

"Saya sudah mengarahkan 5,000 tentera dikerahkan untuk memantau proses pemindahan yang dibuat selepas 20 tahun di negara itu," katanya selepas mesyuarat bersama pasukan keselamatan kebangsaan. .

Disiarkan pada: August 15, 2021 @ 10:22am
d