utama

DJ 'viral' tak mengaku mabuk

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

SEORANG deejay kelab malam yang merakam dan menyebarkan klip video polis trafik ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya Jumaat lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol. 

Ooi Kok Wei, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman.  

Tertuduh didakwa memandu kereta jenis BMW di bawah pengaruh alkohol iaitu 84 miligram (mg) alkohol per 100 mililiter (ml) darah, melebihi had dibenarkan sebanyak 80 mg.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Sungai Besi di sini pada jam 3.45 pagi, Jumaat lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6,000 atau penjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu percubaan dibatalkan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Hashimah Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Nizam Mohamed Fazil.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 2:42pm
d