utama

Jahanam punya penyamun [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

nabihah.kamal.com.my

 

BUKAN saja menyamun, tiga kereta diparkir di depan restoran dipancitkan oleh 'lima jahanam' yang menyamun pelanggan restoran di Ukay Boulevard, Taman Melawati, Hulu Klang, Ampang, kelmarin.

 Pengurus restora , Muhammad Ainul Yakin Uwi, 22, berkata, ketika kejadian dia bersama lima lagi pekerja sedang melayan 24 pelanggan di restoran itu.

 "Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang memakai topi keledar masuk ke dalam restoran dan minta saya duduk. Tiga lagi lelaki berada di belakangnya dengan dua daripadanya bersenjatakan parang pergi ke meja pelanggan dan meminta 'kerjasama' untuk beri barang berharga.

 "Ketika itu ada dua bayi di dalam restoran. Demi keselamatan, kami serahkan semua barang berharga termasuk wang tunai milik restoran sebanyak RM1,000 yang diambil sendiri oleh seorang daripada penjenayah itu," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Menurut Muhammad Ainul, kejadian itu berlaku hanya kurang dari tiga minit.

 "Semua orang terkejut dan ada pelanggan yang menyangka kami adakan 'flashmob' sebelum menyedari mereka membawa parang," katanya.

 Menceritakan lagi detik cemas itu, Muhammad Ainul berkata, seorang daripada kumpulan penyamun berkenaan cuba menghampiri pelanggan yang berada di meja bahagian belakang.

“Dia (suspek) berjalan ke belakang untuk ambil barang berharga pelanggan lain tetapi tiba-tiba penggera keselamatan di bank sebelah kedai ini berbunyi.

 "Seorang dari penyamun itu memberikan arahan supaya rakannya keluar kerana cemas dengan bunyi itu," katanya.

 Muhammad Ainul berkata, sebelum beredar seorang daripada penyamun itu ada memberitahu mengenai wang perlindungan.

 "Mereka mendakwa kami tidak bayar wang perlindungan namun sepanjang restoran ini beroperasi selama tujuh bulan tiada individu yang datang minta wang atau suruh kami bayar.

“Kami juga tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan kongsi gelap," katanya.

Menurutnya, seorang penyamun melibas kerusi dengan parang sebelum keluar.

“Saya lega kerana tiada pelanggan yang cedera.

 "Selepas kejadian itu, saya meminta semua pelanggan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, tayar tiga pelanggan dipancitkan dengan cara ditoreh dengan benda tajam.

 "Selepas lima lelaki itu keluar dari premis, kami memeriksa keadaan sekitar dan mendapati tayar kereta Perodua Myvi, Porsche dan Hyundai yang diparkir di depan restoran dipancitkan.

"Tayar itu ada kesan torehan dan kereta berkenaan bukan milik pelanggan restoran, sebaliknya kereta pelanggan kedai berhampiran. Mungkin penyamun itu menyangka kereta berkenaan milik mangsa yang mereka samun, sebab itulah mereka pancitkan tayar," katanya.

Semalam, tular di media sosial, video restoran diserang lima lelaki yang bersenjatakan dua parang menyebabkan kerugian sehingga RM29,745.70.

 Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, suspek kes samun itu masih diburu dan kes disiasat Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 8, 2017 @ 8:16pm
d