utama

Kisah tanpa tajuk Harry Potter dicuri

Oleh Agensi

PREKUEL Harry Potter tanpa tajuk yang ditulis di atas poskad oleh J K Rowling dicuri di Birmingham, London.

Tulisan tangan kira-kira 800 perkataan itu dikarang di atas poskad berukuran A5 dan dilelong £25,000 (RM196,000) di Sotheby, pada 2008.

Poskad berkenaan dicuri bersama beberapa barang kemas di Howard Road, Kings Heath, antara 13 dan 24 April lalu.

Pada 12 Mei, Polis West Midlands, mengeluarkan notis rayuan dan berharap ‘rayuan itu akan tersebar sejauh yang mungkin di kalangan peminat Harry Potter di seluruh dunia’.

Pegawai Penyiasat, Paul Jauncey berkata: “Orang yang hendak membeli poskad ini kemungkinan besar peminat tegar Harry Potter.

“Oleh itu, kami merayu agar ada yang dapat menghubungi polis jika terjumpa atau ditawarkan poskad ini.”

JK Rowling pula menerusi Twitter, berkata poskad berkenaan dibeli oleh pembida kerana menyokong kebebasan berkarya.

Kisah pada poskad itu menceritakan mengenai James Potter dan Sirius Black yang menghadapi masalah dengan polis sebelum mereka melarikan diri dengan penyapu terbang.

Kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira tiga tahun sebelum Harry dilahirkan.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 3:43am
d