utama

Panggilan terakhir sebelum 'pergi' [METROTV]

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail dan Mazizul Dani

“SIAPA tidak sedih? Tetapi sebagai Islam kita kena reda dengan apa yang berlaku," luah Md Sukri Yassin, 52, bapa kepada Muhammad Kamil, 22, yang maut dihempap pokok ketika mengikuti program ikhtiar hidup di air terjun Lata Charok, Janda Baik, Bentong, hari ini.

Dia yang ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Bentong kelihatan tenang sambil menunggu proses bedah siasat selesai dijalankan.

Dia berkata, anak ketiga daripada lapan adik beradik itu ada menghubunginya semalam memaklumkan pergi berkhemah di Janda Baik.

"Saya mengingatkannya supaya berhati-hati dan menjaga diri.

"Dia begitu teruja kerana dalam perkhemahan ini dia menjadi ketua kumpulan. Tidak sangka keturujaan dia berakhir seperti ini," katanya.

Katanya, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Kuala Lumpur malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, dua penuntut UiTM Puncak Alam maut, manakala lima cedera akibat dihempap pokok.

Seramai 140 penuntut dan empat pensyarah menyertai aktiviti ikhtiar hidup di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 7:03pm
d