utama

Eh..eh.. comelnya... [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Aksi lincah Nur Aimah Dhia Mahmood,10 memukul gendang dan adiknya, Nurfan Danish bertandak (menari) mengikut pukulan gendang mencuit hati netizen, sekali gus menyebabkan video yang dimuat naik di laman sosial Facebook (FB) Sekolah Kebangsaan Pujut Corner (SKPC), Miri tular dan ditonton lebih sejuta kali sejak Khamis lalu.

Video gelagat comel dua beradik bermukun itu dirakam ketika mereka berlatih untuk persembahan sempena perhimpunan bulanan sekolah.

Guru Besar SKPC Suriyati Amit berkata, video itu dimuat naik di FB sekolah untuk berkongsi aktiviti sekolah dengan masyarakat luar terutama ibu bapa.

Menurutnya, kami tidak sangka video bermukun yang menjadi tradisi masyarakat Sarawak itu menjadi perhatian netizen.

"Sebagai warga SKPC kami berbangga dapat mengetengahkan tradisi ini semula yang biasanya dipelopori oleh generasi tua.

"Bagi menyemarakkan seni dan budaya di sekolah, kami mewujudkan kelab kebudayaan bagi memberi peluang kepada murid yang meminati seni tarian dan muzik menunjukkan bakat mereka," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menariknya, Suriyati berkata, selain guru, ibu bapa turut terbabit aktif dalam membantu memberi pendekatan kepada kanak-kanak ini mengenai seni dan budaya.

"Tercapai impian kami sebagai tenaga pengajar untuk mendidik murid mempelajari tarian tradisi Sarawak bagi menghiburkan orang ramai," katanya.

Menurutnya, bukan setakat tarian itu dipersembahkan di peringkat sekolah malah ia juga pernah diperkenalkan di peringkat antarabangsa.

"Dua beradik itu pernah memenangi pertandingan bermukun dan pernah membuat persembahan di Brunei.

"Kebanyakan murid memang dah berbakat... cuma di sekolah, kita asah bakat mereka supaya lebih berkeyakinan," katanya.

Bermukun adalah persembahan tradisional Sarawak yang membabitkan persembahan tarian dan pantun berlagu diiringi gesekan biola dan gendang.

Acara ini turut dikenali sebagai bergendang yang dipersembahkan di majlis kenduri kahwin dan menyambut ketibaan orang kenamaan di kampung.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 12:56am
d