utama

'Silap saya, maafkan saya'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

"SAYA maafkan setiap individu yang sudah mengaibkan saya."

Itu kata-kata pelakon popular, Izara Aishah selepas video yang memaparkan dirinya berpakaian menampakkan sebahagian payu daranya tular di Internet, sejak semalam.

Izara ketika dihubungi Harian Metro, hari ini, mengakui kesilapannya dan meminta perkara itu tidak diperbesarkan lagi.

"Saya sudah melihat video itu dan memohon maaf kepada semua. Saya berharap perkara ini tak diperbesarkan lagi," katanya.

Video berdurasi tiga saat itu memaparkan Izara berjalan di permaidani merah dengan mengenakan baju putih sehingga menampakkan sebahagian payu dara sebelah kiri.

Difahamkan, video itu dirakam ketika Izara menghadiri parti anjuran sebuah jenama terkemuka di Kuala Lumpur, awal tahun lalu.

Pada acara yang turut dihadiri beberapa selebriti negara itu, Izara dianugerahkan pakaian terbaik.

Sementara itu, Izara menerusi laman Instagram miliknya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

Izara juga menjelaskan kesilapan itu bukan dilakukan selepas dia memohon maaf kali pertama ketika dikecam mengenakan busana kurang sopan tahun lalu.

"Saya tidak membuat kesilapan yang sama selepas meminta maaf. Majlis dalam video itu adalah sebelum saya memohon maaf kepada semua dahulu. Selepas itu saya berusaha berubah ke arah kebaikan.

"Alhamdulillah, Allah ingin menaiktaraf saya untuk menjadi isteri tidak lama lagi.

“Tetapi selepas mengumumkan akan bernikah tahun ini, video lama itu muncul. Saya memaafkan setiap individu yang sudah mengaibkan saya.

"Saya sedar kesilapan itu dan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

“Sekali lagi saya memohon maaf kepada semua. Ini antara saya dan anda semua. InsyaAllah suatu hari nanti anda akan memaafkan saya. Saya doakan yang terbaik buat semua," tulis Izara.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 10:59am
d