utama

Bertengkar sebelum bakar rumah mentua

Oleh Shamsudin Husin

LELAKI berusia 32 tahun dipercayai bertindak membakar rumah ibu mentuanya selepas bertengkar dengan isteri di Kampung Baru FELDA Neram 1 di Chukai, tengah malam semalam.

Difahamkan, lelaki berkenaan bertindak demikian selepas isterinya bersama empat anak dan ibu mentua lari ke rumah jiran.

Lelaki itu dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya menyebabkan dia membakar rumah berkenaan sebelum melarikan diri.

Sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Baharu yang menerima panggilan kecemasan pada 12.20 tengah malam bergegas ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api,” katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 5:28pm
d