utama

Pemangkin semangat

Oleh Nurul Huda Kosnon

“SAYA tidak sangka akan sampai ke tahap ini memandangkan ia membabitkan peserta yang sememangnya sangat berbakat dalam bidang ini.

“Alhamdulillah, berkat kerja keras selama beberapa tahun akhirnya membuahkan hasil dan kemenangan ini adalah pemangkin semangat untuk terus berjaya.”

Demikian kata Penolong Pegawai Penyediaan Makanan di Hospital Raub, Pahang, Muhammad Afiq Abdullah, 30, yang mengharumkan nama negara apabila membawa pulang pingat perak di Pameran Hofex 2017 di Hong Kong, 11 Mei lalu.

Hofex 2017 adalah pameran makanan, peralatan dan perkhidmatan dalam bidang makanan terbesar di Hong Kong dan berlangsung 8 hingga 11 Mei lalu.

Ia diadakan dua tahun sekali dengan menghimpunkan semua pemain industri perkhidmatan makanan dari seluruh dunia.

Muhammad Afiq dinobatkan naib juara selepas mengukir buah-buahan dan hiasan tradsional dengan konsep 1Malaysia.

"Saya menggunakan buah-buahan termasuk tembikai susu, lobak putih, keladi dan labu dengan menggabung hiasan antaranya bakul rotan, kain songket, mangkuk dan payung Cina bagi menarik perhatian juri pada pertandingan berkenaan.

"Menempatkan diri sebagai naib juara adalah sesuatu yang istimewa, apatah lagi dapat menewaskan peserta lain dari beberapa negara termasuk Kanada, Turkey, Taiwan, Australia, Filipina, China, Korea, Macau dan Myanmar," katanya yang juga pemegang ijazah dalam bidang Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Katanya, pertandingan seumpama itu adalah yang ketujuh disertainya sekali gus meraih tempat kedua berbanding kali pertama membawa pulang pingat emas menerusi Battle Of The Chef di Pulau Pinang pada 2015.

"Lain pertandingan lain ragamnya. Walaupun sekadar pingat perak, saya sangat berpuas hati dengan pencapaian ini berikutan peserta dari Taiwan yang sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang ini," katanya.

Katanya, kemenangan ini adalah saat terbaik terutama untuk terus mengharumkan nama negara sekali gus memartabatkan lagi industri ukiran di kalangan generasi muda.

Menerusi pertandingan itu, pingat emas diraih peserta dari Taiwan sementara gangsa adalah milik rakannya yang juga peserta dari Malaysia, Mohamad Hidir Musa.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 11:39pm
d