utama

Mengaku salah berbogel di tempat awam [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

SERAMAI 23 peserta lelaki kem motivasi didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Bentong, Pahang, hari ini, atas tuduhan berkelakuan lucah dengan berbogel di sebuah resort, Januari lalu.

Majistret Khairuddin Anhar Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 19 hingga 23 tahun selepas semuanya mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara sebulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berkelakuan lucah dengan berbogel di tempat awam di Selesa Hillhomes Resort, Bukit Tinggi, 5.30 petang pada 21 Januari lalu dan perbuatan itu mendatangkan kegusaran terhadap penduduk.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, lima lagi peserta kem didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah bersubahat melakukan perbuatan itu di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 294(a) kanun sama yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Manakala lima fasilitator termasuk jurulatih kem motivasi didenda RM3,000 dan dipenjara sebulan bermula daripada tarikh tangkap, iaitu 22 Januari lalu selepas mereka mengaku salah atas tuduhan sama.

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 2:21pm
d