utama

Ditahan bantu siasatan

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menahan 36 individu termasuk 34 pengikut Kumpulan Islam Jemaah di Kampung Tok Muda, Klang, kira-kira 10 malam tadi.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim, berkata dua individu yang turut ditahan itu adalah pemilik rumah dan guru kumpulan itu.

Beliau berkata, ajaran kumpulan Islam Jemaah adalah antara tujuh ajaran yang difatwa haram namun dikesan masih aktif di Selangor.

Menurutnya, operasi itu membabitkan 28 anggota penguat kuasa Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS serta Pejabat Agama Islam Daerah Klang.

"Mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 60 tahun. Mereka dibawa ke pejabat JAIS untuk dirakam percakapan sebelum dilepaskan dengan jaminan.

"Penahanan mereka dilakukan mengikut Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor2003 Pindaan 2015 dan Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haris berkata, sejak Ops Tauliah 1/ 2017 dijalankan, 11 individu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 Pindaan 2015.

Selain itu, katanya, lapan kes dibuka bagi kesalahan ceramah agama tanpa tauliah.

Selain itu, katanya, 32 kes difailkan mengikut Seksyen 12 dan 13 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003 Pindaan 2015 kerana melanggar fatwa yang dikuatkuasakan.

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 1:37pm
d