utama

Lan tiru bunyi F1 = RM15,000

Oleh Aizat Sharif

PERSEMBAHAN spontan meniru bunyi enjin kereta lumba Formula Satu (F1) yang dilakukan Lan Pet Pet berjaya dilelong dengan harga RM15,000, hari ini.

Bunyi F1 itu membuatkan Tan Sri Dr Khor Eng Chuen membida untuk membayar RM15,000 yang kemudiannya disalurkan bagi tujuan kebajikan.

Kutipan itu adalah sebahagian usaha kebajikan oleh Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dalam Karnival Hari Penyayang 2017 di Stadium Darulaman, Alor Setar, hari ini.

Lan Pet Pet atau Mazlan Ahmad turut meniru bunyi ambulans, seksofon irama lagu 'Getaran Jiwa' dalam persembahan yang dilakukannya dalam kira-kira 15 minit itu.

Persembahan di depan lebih 1,000 pengunjung itu turut mencuit hati Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Lan berkata, persembahan spontan itu bukanlah pertama kali diadakan sebaliknya dia pernah melakukannya pada karnival yang sama tiga tahun lalu.

"Persembahan ini adalah sebagai sumbangan ikhlas saya bagi menarik dermawan yang hadir pada majlis ini untuk menyumbang kepada YSB untuk tujuan kebajikan.

"Malah, sebagai anak Kedah, persembahan ini juga adalah istimewa kerana dilakukan pada hari lahir saya.

“Ia juga sebagai simbolik kepada kejayaan Kedah yang masuk ke perlawanan akhir Piala FA pada malam ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada ketika ditemui selepas berakhirnya Karnival Amal Hari Penyayang 2017.

Pada 2014, persembahan spontan bunyi bunyian Lan Pet Pet pernah dibida RM5,000.

Dalam majlis itu RM518,000 berjaya dikumpulkan hasil jualan lelong 21 koleksi peribadi Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah termasuk persembahan spontan Lan Pet Pet.

Kesemua wang yang terkumpul itu akan didermakan kepada YSB untuk tujuan kebajikan.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 4:03pm
d