utama

Disiram air panas

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

LELAKI cedera dibelasah dan melecur di badan akibat disiram air panas oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di Kampung Paya Jaras Hilir di Sungai Buloh, semalam.

Dalam kejadian 1 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun cedera di muka, badan serta melecur di belakang badan, bahu kiri dan leher.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Somu Subramaniam berkata, mangsa dibelasah kerana dikatakan menjalin hubungan dengan seorang wanita yang dalam proses bercerai dengan suaminya.

"Mangsa dipercayai dibelasah sekumpulan 10 hingga ke 15 lelaki.

"Bagaimanapun, tujuh daripadanya ditahan termasuk suami kepada wanita yang dipercayai mempunyai hubungan dengan mangsa," katanya.

Katanya, mangsa masih dirawat di Hospital Sungai Buloh dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Sungai Buloh bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: May 21, 2017 @ 12:42pm
d