utama

Kanak-kanak antara 22 terbunuh

Oleh Agensi

KANAK-KANAK antara 22 yang terbunuh dalam serangan bom ketika konsert bintang pop Amerika Syarikat Ariana Grande di Manchester hari ini, dan polis Britain mengesahkan penyerang mati di tempat kejadian.

AFP melaporkan, Ketua Polis Greater Manchester, Ian Hopkins, mengesahkan kanak-kanak antara 22 mangsa maut dalam serangan bom paku dan nat yang turut menyebabkan 59 lagi cedera.

“Penyerang itu, saya boleh sahkan maut di tempat serangan. Kami percaya penyerang menggunakan bom buatan sendiri,” katanya.

Setakat ini, polis yakin serangan itu dilakukan hanya oleh seorang dan sedang berusaha memastikan ia tidak mempunyai rakan subahat.

Perdana Menteri Britain, Theresa May, yang mengutuk serangan pengganas itu bersama pemimpin pembangkang, Jeremy Corbyn, menunda kempen pilihan raya umum pada 8 Jun.

Letupan berlaku di ruang legar Arena Manchester ketika sebahagian penotong sudah mula keluar pada hujung konsert Ariana menuju ke stesen kereta api bawah tanah. Difahamkan 21,000 penonton berada dalam arena berkenaan.

Mangsa yang cedera dirawat di lapan hospital seluruh Manchester.

Berikutan serangan itu, Ariana, 23, menggantung konsert jelajahnya dan melalui Twitter, berkata: “Sedih. Ikhlas sepenuhnya dari lubuk hari, saya mohon maaf, teramat maaf. Saya tiada kata-kata.”

Menurut Daily Mail, seorang penonton, Abby Mullen, dari Airdrie, Lanarkshire Utara, berkata dia sedang meninggalkan arena itu apabila bom meletup berhampirannya.

“Kulit manusia dan darah berselerak, termasuk melekat pada beg dan rambut saya.

“Bunyi letupan itu, darah dan mereka yang berlari ke sana sini, termasuk ada yang kehilangan anggota badan atau melecur masih melekat dalam ingatan saya,” katanya.

Remaja, Sebastian Diaz, 19, dari Newcastle, berkata kepada AFP: “Saya nampak bapa mengendong anak perempuan mereka sambil menangis.”

Stephanie Hill, ibu seorang remaja Kennedy Hill yang menyaksikan konsert itu berkata, orang ramai, sebahagian besarnya remaja bertempiaran lari menyebabkan ramai kehilangan kasut dan telefon selepas letupan berlaku.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 4:57pm
d