utama

Terbaiklah dik... [METROTV]

Oleh Ridhatul Rizki

“MAK kata dulu saya suka tiru bunyi lori apabila bermain dengan lori mainan,” kata Nasrudin Yasir Arafat, 9, mengenai yang menghasilkan bunyi muzik menggunakan suaranya atau ‘beatbox’.

Dalam video itu, Nasrudin menghasilkan bunyi muzik, manakala sepupunya, Mohammad Aidil Azwan Sukhairi, 11, menyanyikan lagu Aisyah nyanyian asal Projector Band.

Video terbabit yang dimuat naik di laman sosial Facebook (FB) oleh ibu Mohammad Aidil, Norzihan Musa, 34, tular sejak 17 Mei lalu sehingga mendapat 4,500 perkongsian oleh pengguna FB.

Kata Nasrudin, dia perlu mendengar melodi sesebuah lagu sebelum boleh meniru rentak lagu terbabit.

“Tak susah pun buat (‘beatbox’). Kena dengar dan tahu muzik lagu tu macam mana, baru boleh ikut rentak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, menurut Norzihan, dia mula perasan bahawa anak saudaranya itu memiliki bakat terpendam sejak Nasrudin berusia tujuh tahun.

“Dia tak pernah belajar dari sesiapa. Yang saya perasan, dia dah pandai buat beatboxing ketika darjah satu. Tapi dulu dia suka bayangkan dan tiru bunyi permainan dia,” kata Norzihan yang berasal dari Klang.

Mohammad Aidil pula berkata, dia dan Nasrudin gemar menonton siri animasi dan video muzik di laman web Youtube.

“Kami suka tengok Youtube. Biasanya kami tonton Upin & Ipin atau Boboiboy. Tapi selalu juga kami buka lagu. Tak kisah lagu apa, semua jenis lagu kami dengar,” katanya.

Tambah Mohammad Aidil, dia meminati muzik dan mahu menjadi artis.

“Saya nak jadi artis tapi mak tak bagi. Tapi sekarang kawan-kawan sekolah kata saya dah viral (tular) dan famous (terkenal), ” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 7:06pm
d