utama

'Macam ni la bagus'

Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Siraj Mohd Zaini

KEHADIRAN David Teo, Mat Over dan Datuk Rosyam Nor pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Program Tranformasi Negara 2016 di UiTM malam ini mencuri perhatian tetamu seterusnya menerima tepukan gemuruh.

Pada majlis itu, ketiga-tiganya duduk sebaris dengan David dan Mat Over duduk bersebelahan.

Dalam ucapannya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berkata, kedua-duanya sudah berbaik-baik malah boleh duduk bersama-sama.

Beliau berkata, kerajaan mahu melihat rakyat Malaysia bersatu padu dan barulah negara akan berjaya.

"Kita tidak mahu gaduh-gaduh, kita nak semua berbaik-baik, tolong menolong antara satu sama lain agar negara kita aman dan makmur.

"Ni depan saya saudara Mat Over pun hadir, Mejar David Teo pun ada, duduk sama-sama lagi, macam ni la bagus, ini yang saya mahu sebagai PM," katanya.

Sementara itu Mat Over atau nama sebenarnya Sulaiman Yassin berkata, dia dan David dijemput pada majlis itu.

"Semuanya sudah selesai dan kami sama-sama dijemput dalam program ini," katanya.

Pada sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) antara penggiat seni dan Perdana Menteri Rabu lalu berlaku kekecohan apabila Mat Over menampar David Teo.

Bagaimanapun ia diselesaikan dengan baik apabila David dan Mat Over bersalaman tanda berdamai pada malam itu.

Selain menerima tepukan gemuruh orang ranai turut mengambil peluang berswafoto bersama kedua-dua selebriti itu.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 11:03pm
d