utama

Maut berbalas tembakan

Oleh Farah Suhaidah Othman

KETUA kumpulan jenayah digelar 'Geng Pam' mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Air Kuning-Kampung Gajah dekat Kampar, 3.30 petang hari ini.

Suspek berusia 40 tahun itu yang juga ketua kumpulan kongsi gelap Geng 04 di Ipoh, mati di lokasi kejadian selepas terkena dua tembakan polis di dada.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan samun jentera berat di sekitar daerah Muallim, Tapah, Ayer Tawar dan Manjung membabitkan kerugian melebihi RM500,000.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau sejak 2006 hingga 2013 membabitkan samun dan curi kenderaan serta pernah ditahan di Simpang Renggam, Johor kerana terbabit dalam kes bunuh.

"Suspek turut dipercayai terbabit dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap di Selangor dan Kuala Lumpur serta Ipoh," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian polis yang melakukan rondaan terserempak dengan Honda City dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Air Kuning sebelum semakan mendapati nombor pendaftaran kereta berkenaan adalah palsu.

"Susulan itu, polis mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan namun suspek memecut sejauh kira-kira empat kilometer (km) sebelum kereta suspek terbabas ke kiri jalan.

"Suspek kemudiannya keluar dari kenderaan dan melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta polis.

"Bertindak menlindungi diri, polis melepaskan tembakan dan dua daripadanya terkena di dada suspek," katanya.

Hasnan berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta suspek juga menemui tiga parang dipercayai digunakan untuk menyamun.

"Polis sudah mengenal pasti enam lagi individu yang dipercayai ahli Geng Pam ini yang terbabit dalam kegiatan samun jentera berat dan kini giat menjalankan operasi mengesan semua suspek.

"Mayat suspek dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 8:02pm
d