utama

'Cintaku berputik di WeChat'

Oleh Nurul Huda Kosnon

SEMUANYA bermula di aplikasi WeChat kira-kira sembilan bulan lalu.

Di kala Nur Fatihah Mohd Ali, 23, leka melayari aplikasi itu dengan menggunakan fungsi 'Look Around' sebelum menerima teks kiriman lelaki yang menghantar pesanan terbuka mengatakan keinginan untuk berkenalan dengannya.

Tanpa berlengah dia terus membalas kiriman teks berkenaan untuk mengenali Ab Hafiz Mat Deris, 30, yang ketika itu meletakkan tanda namanya sebagai Hafiz.

Salam perkenalan dihulur lalu membawa ke bibit persahabatan hingga timbul cinta antara Nur Fatihah dan Ab Hafiz serta menerimanya dengan seadanya hanya dalam masa tiga minggu sebelum mengikat tali pertunangan pada 8 Oktober 2016 dan berkahwin pada 29 April lalu.

Perbezaan usia tujuh tahun antara mereka juga tidak menjadi halangan berikutan kedua-duanya berkongsi minat sama iaitu memasak.

Menurut Nur Fatihah yang juga berniaga atas talian, dia tidak menyangka pertemuan di aplikasi WeChat pada Julai 2016 lalu berakhir di jinjang pelamin bersama Ab Hafiz pada bulan lalu.

"Sehari selepas berkomunikasi menerusi kiriman teks di aplikasi berkenaan, suami yang kebetulan ketika itu bertugas di sebuah penjara di Bentong, Pahang terus menyatakan keinginan untuk berjumpa dengan saya yang memang menetap di Bentong.

"Pada kali pertama berjumpa, timbul perasaan suka dengannya yang dilihat matang dan banyak memberi kata-kata nasihat ke arah kebaikan. Tiga minggu kemudian suami menyatakan untuk membawa saya berjumpa keluarganya," katanya yang juga anak tunggal.

Katanya, selepas mendapat reaksi positif daripada pihak keluarga suami, mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada Oktober 2016 seterusnya bernikah pada April lalu.

"Saya macam dalam mimpi apabila dalam masa singkat mengenali suami boleh terus berkahwin. Tak tahu nak cakap macam mana dari awal pertemuan memang rasa perasaan tu lain berbanding mengenali mana-mana lelaki sebelum ini.

"Kalau ikutkan memang saya agak susah nak terima lelaki, menerima hanya sekadar untuk berkawan dan tidak lebih daripada itu. Kebetulan ketika mengenali suami saya memang belum ada teman lelaki.

"Suami turut berkongsi minat sama iaitu memasak. Alhamdulillah, selepas sah bergelar suami isteri dia juga banyak membantu saya memasak di dapur," katanya.

Sementara itu, Ab Hafiz berkata dia yang baru putus cinta dengan teman wanita sebelum ini nekad untuk mencari wanita sebagai suri hidupnya.

“Saya memang mencari wanita yang pandai masak dan apabila melihat gambar-gambar yang dimuat naik oleh Nur Fatihah menerusi 'Moment' di aplikasi miliknya banyak memaparkan dia memasak, timbul perasaan untuk mengenalinya dengan lebih mendalam.

"Saya juga pernah bertanyakan kepadanya supaya menyediakan saya kek coklat dan ternyata dia adalah wanita yang saya idam-idamkan selama ini. Alhamdulillah, keluarga juga banyak memberi sokongan dan akhirnya kami sudah disatukan sebagai suami isteri," katanya.

Katanya yang juga pekerja swasta, dia memuatnaik detik pertemuan bersama isterinya itu di Facebook miliknya menggunakan nama Ab Hafiz Mat Deris sebagai mengimbas semula detik pertemuan bersama isteri tersayang.

"Saya tidak sangka ia menjadi viral di laman sosial apabila turut dikongsi oleh pengguna laman media sosial," katanya.

Kisah pasangan itu menjadi sebutan netizen dan tular di media sosial apabila Ab Hafiz memuatnaik gambar pesanan ringkas WeChat mereka berdua pada 11 Mei lalu ketika mula-mula berkenalan.

Disiarkan pada: May 24, 2017 @ 11:08pm
d