utama

'3 Exco PAS kekal demi rakyat'

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan kedudukan tiga wakil PAS dalam Exco Kerajaan Selangor dikekalkan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Baginda bertitah, keputusan itu demi kepentingan rakyat dan usaha pembangunan negeri itu terus dilaksanakan.

Baginda turut bertitah, ia mengambil kira mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan negeri sedia ada untuk terus mentadbir bagi menjamin keharmonian dan pembangunan supaya kemakmuran rakyat di Selangor tercapai.

"Selepas menimbang dan meneliti semua aspek terutama dari sudut kestabilan pentadbiran kerajaan negeri demi memelihara kepentingan rakyat, maka selepas berbincang dengan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Baginda berkenan dengan hasrat MB untuk mengekalkan ketiga-tiga Exco dari PAS dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga tarikh PRU," kata kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, hari ini.

Tiga wakil PAS dalam Exco kerajaan Selangor itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi; Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Majlis Syura Ulama PAS memuktamadkan keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR yang diluluskan dalam muktamar tahunan PAS akhir bulan lalu.

Susulan itu PKR turut mengarahkan semua lantikan politik dari parti itu dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan melepaskan jawatan mereka serta-merta.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 9:17am
d