utama

Ichwan, Solihin pengebom Jakarta

Oleh Agensi

DUA suspek pengebom nekad di Jakarta dikenali sebagai Solihin, kakitangan pentadbiran di sebuah sekolah berasrama Darul Asnor di Poso, Sulawesi Tengah dan Ichwan Nurul Salam, 34, dari Bandung.

Menurut portal berita Straits Times, dua pengebom itu terbunuh dalam kejadian berkenaan yang turut menyebabkan tiga polis maut dan 10 lagi cedera termasuk lima anggota polis.

Straits Times yang memetik sumber polis, melaporkan polis yakin Solihin ada kaitan dengan pelampau di Poso dan kedua-dua mereka ada hubungan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Bom yang digunakan dalam serangan itu juga gred rendah, sama jenis dengan yang digunakan dalam serangan di Bandung, Februari lalu.

Bom pertama diletupkan di luar tandas awam manakala yang kedua berdekatan perhentian bas kira-kira 10 meter dari letupan pertama.

Polis menemui resit pembelian dari sebuah kedai di Padalarang, Jawa Barat, bertarikh 22 Mei, untuk pembelian periuk nasi, kepingan aluminium, bebola besi, suis dan bahan membuat bom.

Jurucakap polis Indonesia, Setyo Wasisto, berkata serangan itu sama seperti serangan di Bandung yang dilakukan seorang penyerang yang ada kaitan dengan IS.

Polis juga berusaha memastikan kemungkinan mereka mempunyai kaitan dengan Mujahideen Indonesia Timur (MIT) yang beroperasi di Poso.

MIT bertanggungjawab melakukan beberapa serangan di Indonesia sejak 2012, termasuk bertemour dengan polis di Sulawesi Tengah menyebabkan beberapa terbunuh termasuk polis, tahun lalu.

Ketua MIT, Santoso, yang juga dikenali sebagai Abu Wardah dan seorang anggota kumpulan itu terbunuh. Santoso dan ahli MIT secara terang mengumumkan sokongan kepada IS.

Menurut AFP, siasatan kejadian itu kini dikendalikan skuad elit anti-pengganas Indonesia

Polis percaya dua penyerang itu yang meletupkan diri mereka mensasarkan anggota polis yang bertugas mengawal satu perarakan di tempat kejadian.

Kawasan kejadian adalah tumpuan penduduk tempatan, bukan pelancong.

“Skuad anti-pengganas Densus 88 kini mengendalikan siasatan. Kami mahu tahu dari mana pengebom itu datang, kumpulan apa mereka sertai,” kata Setyo.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 5:28pm
d