utama

Gagal seludup 198kg dadah [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bukit Kayu Hitam menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 198 kilogram (kg) yang cuba diseludup ke negara ini bernilai RM18.3 juta, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/ Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Datuk Zulkifli Yahya berkata, suspek pertama berusia 26 tahun ditahan pada 9.15 pagi ketika memandu Proton Iswara di lorong pemeriksaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), Bukit Kayu Hitam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati di dalam but kereta ditutup dengan lapisan papan lapis seperti kotak pembesar suara disyaki diubah suai.

"Bagaimanapun pemeriksaan lanjut menemui ketulan dadah heroin dengan berat kasar 154 kg, methamphetamine seberat 38 kg dan ketamin seberat enam kg.

"Suspek ditahan dan hasil soal siasat kita berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun di Alor Setar dipercayai terbabit sindiket sama," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat JKDM Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Zulkifli berkata, dadah itu dipercayai diambil dari negara jiran untuk diseludup ke sini.

"Hasil saringan awal air kencing juga mendapati kedua-duanya positif dadah.

“Suspek kini direman sehingga 5 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 12:29pm
d