utama

Tertembak anak

Oleh Junaidi Ladjana dan Amniera Naziera Amran

KANAK-KANAK lelaki parah terkena tembakan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk yang dilepaskan ayahnya di Kampung Muhang, Kota Marudu, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Frendly Jukiring, 4, yang parah di dada, bahu dan pipi kanan kini menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HKKWS) Likas, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, bapa mangsa terlepas tembakan dipercayai dari bakakuk dan terkena anaknya yang ketika itu sedang bermain di halaman rumah mereka.

"Berikutan itu, ibu kanak-kanak terbabit segera membawa anaknya (mangsa) ke Hospital Kota Marudu sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) untuk rawatan lanjut.

"Pada 9.30 malam tadi, suspek (bapa mangsa) ditahan polis di rumahnya namun senjata yang digunakan tidak ditemui," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek berusia 40-an kini ditahan dan polis masih meneruskan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960," katanya.

Frendly kini dipindahkan ke HWKKS, Kota Kinabalu, untuk menjalani pembedahan.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 5:03pm
d