utama

Astaghfirullahalazim...

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SEPASANG kekasih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini atas tuduhan membunuh bayi lelaki berusia setahun sembilan bulan, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Hanafi Misban, 28, dan Sofia Nabila Naim, 22, yang tinggal bersedudukan itu faham akan pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Salawati Djambari.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki dan wanita itu didakwa bersama-sama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap bayi lelaki yang juga anak kepada tertuduh wanita hasil hubungan luar nikah dengan lelaki lain.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumah tertuduh lelaki di FELDA Bukit Easter, Kota Tinggi, antara 7.10 pagi hingga 2.30 petang, 15 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 3 Julai ini bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan DNA serta bedah siasat dan tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi'uddin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Difahamkan, tertuduh lelaki bekerja sebagai mekanik, manakala wanita yang tidak bekerja itu kini hamil tiga bulan hasil hubungan dengan tertuduh lelaki berkenaan.

Disiarkan pada: May 28, 2017 @ 3:58pm
d