utama

Prestasi hambar

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen percaya banyak lagi perkara perlu diambil perhatian jika Malaysia berhasrat untuk mencabar negara lain terutama dalam kejohanan berpasukan seperti Piala Sudirman, Thomas dan Uber.

Menurut bekas pemain perseorangan Denmark itu, selepas skuad negara terkandas pada suku akhir Piala Sudirman Jumaat lalu, beberapa perkara yang dirasakannya perlu diperbaiki terutama bahagian pemain wanita.

“Memang ada peningkatan dari tahun ke tahun namun mereka masih lagi jauh dengan pemain dari negara lain. Setidak-tidaknya perkara ini dapat mengurangkan tekanan ataupun tanggungjawab terhadap pemain lain seperti apa yang berlaku di Gold Coast apabila Malaysia mengharapkan kepada beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk menyumbang mata kemenangan,” katanya.

Jumaat lalu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, V Shem-Wee Kiong perlu mencatat kemenangan untuk meraih mata penting dalam aksi suku akhir bertemu Jepun namun tumpas kepada pasangan nombor lima dunia Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.

Ia sama seperti apa yang berlaku dalam aksi peringkat kumpulan apabila mereka tumpas kepada lawan yang sama dan Malaysia kalah 2-3.

Disiarkan pada: May 29, 2017 @ 9:09am
d