utama

'Harap abang kuat demi anak...' [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

 

 am@hmetro.com.my

 

"Saya harap suami cepat sembuh dan dapat sambut Aidilfitri dengan kami sekeluarga," kata Syarafina Anuar,30, isteri Lans Koperal Mohd Ridzuan Harun,31, yang parah selepas terbabit dalam kemalangan ketika mengejar penunggang motosikal yang melarikan diri daripada diperiksa di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong, semalam.

Menurut Syarafina, suaminya patah gigi, rahang dan hidung serta masih dirawat di Unit Rawatan rapi (ICU) Hospital Serdang.

 "Keadaannya separuh sedar, namun dia menunjukkan perkembangan positif selepas lebih 24 jam tidak sedarkan diri.

  "Sehingga kini doktor masih tidak memberi sebarang kata putus mengenai keadaan dia (suami) namun saya berharap segalanya dalam keadaan baik.

 "Kejadian ini berlaku pada Ramadan dan saya amat mengharapkan dia segera pulih dan kuat demi anak-anak," katanya yang mempunyai dua anak.

Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari dipetik berkata, Mohd Ridzuan bersama rakannya membuat rondaan dengan masing-masing menunggang motosikal di Jalan Persiaran Taman Tasik Prima, Puchong pada 1.10 pagi dan terserempak dengan seorang lelaki menunggang motosikal Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan.

 "Mangsa cuba menghampiri suspek bagi tujuan pemeriksaan tetapi lelaki terbabit terus memecut motosikal dan dua anggota mengejar suspek. 

 "Namun, apabila tiba di lokasi mangsa didapati terbaring berhampiran motosikal oleh rakan setugasnya dan suspek pula melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya," katanya. 

Sementara itu, rakan Mohd Ridzuan yang hanya mahu dikenali sebagai Amy berkata, rakannya itu memang 'ligat' menangkap penjenayah.  

"Kali ini nasib tidak menyebelahinya, harap dia cepat sembuh.

Saya ada melawatnya dan dia hanya menunjukkan isyarat ibu jari tanda dia okey," katanya ketika ditemui di Hospital Serdang.

Disiarkan pada: May 31, 2017 @ 12:27am
d