utama

Jiwa murni abang bomba

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

TIGA sekeluarga yang dalam perjalanan pulang untuk menyambut Hari Gawai diminta turun dari bas oleh pemandu bas kerana tiada wang membayar tambang di kawasan berhampiran Bulatan Jalan Sibu-Bintulu, di Sibu, hari ini.

Bagaimanapun, atas keprihatinan dan kasih sayang sesama manusia mereka dibantu anggota bomba yang menghantar mereka pulang, sekali gus dapat meraikan Hari Gawai bersama keluarga.

Segala-galanya bermula dengan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah menerima panggilan kecemasan pada 3.28 petang daripada seorang lelaki yang memaklumkan berlaku banjir di kawasan rumah panjangnya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, sebaik tiba, anggotanya mendapati tiada banjir seperti yang dilaporkan lelaki terbabit.

Katanya, anggota bomba melihat ada wanita tidak jauh dari situ melambai meminta bantuan ketika menjalankan rondaan di lokasi berkenaaan.

"Wanita itu mengakui ada menghubungi suaminya supaya meminta bantuan bomba menghantar mereka pulang ke Rumah Panjang Edward Chendang yang terletak 34 kilometer dari lokasi mereka ditemui.

"Keluarga berkenaan buntu kerana diarahkan untuk turun dari bas kerana tidak mempunyai wang untuk membayar tambang sehingga terpaksa meminta bantuan bomba," katanya.

Katanya, bersama-sama wanita itu adalah anak perempuan dan bapanya masing-masing berusia dua dan 61 tahun.

Ling Hii berkata, atas dasar keprihatinan selain jarak yang jauh, anggotanya kemudian menghantar keluarga itu menggunakan lori bomba ke rumah panjang mereka dan tiba pada 4.56 petang.

"Keluarga berkenaan disambut ahli keluarga yang lain dan mereka dapat meraikan Hari Gawai," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2017 @ 9:18pm
d