utama

Penghantar surat berhati mulia [METROTV]

Oleh Nurul Huda Kosnon

"Saya dan dia sudah seperti kawan baik. Insya-Allah, dalam masa terdekat ini saya cuba bantu dia dapatkan tempat tinggal pula,” kata penghantar surat di syarikat swasta di Mont Kiara, Muhd Khairul Khazali, 20, yang menarik perhatian umum selepas tindakan murninya membantu gelandangan, Asyuk Ikram, 41, menggunting rambut pada Mac lalu.

Malah, gambarnya menemani Asyuk menggunting rambut turut tular di laman Facebook (FB) apabila dikongsi kira-kira 16,000 kali selain mendapat reaksi positif pengguna laman sosial itu yang rata-ratanya menyifatkannya sebagai hero dan pemurah hati.

Anak kelahiran Johor itu berkata, dia sudah mengenali Asyuk yang sering dilihatnya di perhentian bas berdekatan pusat beli-belah Times Square di ibu negara sejak dua tahun lalu dan mula bercakap dengannya pada 10 Mac lalu.

"Pada Jumaat (10 Mac) itu, saya baru berkesempatan untuk menyapanya ketika saya sedang rehat daripada kerja iaitu kira-kira 1.30 petang. Saya ada menawarkannya untuk membawanya menggunting rambut namun dia menolak.

"Keesokannya iaitu pada Sabtu dan Ahad, saya sekali lagi meluangkan masa bersama di lokasi sama dan akhirnya dia bersetuju selepas beberapa kali dipujuk," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia kemudiannya memuat naik beberapa gambar dan video di FB miliknya pada 13 Mac lalu.

"Saya tidak menyangka gambar berkenaan akan tular di laman sosial. Ketika itu, ramai orang hubungi saya untuk menawarkan pekerjaan kepada Asyuk.

"Syukur, dia sudah ditawarkan kerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat swasta di Cheras. Cumanya kini saya sedang membantu dia mendapatkan rumah sewa berikutan dia (Asyuk) kini masih menetap di kawasan gelandangan berhampiran Bulatan Pahang," katanya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik.

Katanya, tindakannya berbuat demikian disifatkan sebagai tanggungjawab sesama manusia.

"Ia sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu tidak kira siapa pun. Semua orang kena ada sifat itu. Kalau nak tunggu orang bantu mungkin Asyuk masih lagi sama macam dulu.

"Saya mahu dia hidup macam insan normal lain," katanya.

Katanya, dia kini sentiasa memantau keadaan Asyuk dari semasa ke semasa.

"Sebelum ini, saya memang selalu juga beri makanan kepada golongan gelandangan.

"Sejak kejadian itu, hubungan saya dan Asyuk menjadi semakin rapat sehingga ke hari ini. Semalam (Isnin), dia juga ada hubungi saya dan berkongsi mengenai tugas di tempat kerjanya itu.

"Saya gembira melihat keadaannya sekarang, daripada gelandangan berubah menjadi seperti insan normal lain serta mampu mengurus kehidupan hariannya dengan lebih baik," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2017 @ 10:54pm
d