utama

Damailah Iman di sana

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Iman Shafiq Ibrahim, 7, yang terjatuh ke dalam Sungai Baru berdekatan Masjid It-Tihad, Kubang Rotan, Alor Setar, 9.30 malam semalam ditemui lemas 12.41 tengah malam ini.

Mayat murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Sungai Baru itu ditemui tersangkut pada ranting kayu di sungai dan suasana pilu apabila bapa dan ibunya, Ibrahim Mat Saad, 55, dan Sharifah Noor, 47, berada di tempat kejadian ketika anak mereka ditemui.

Tujuh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan Jitra menemui mayat Iman dalam jarak 30 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Iman pada mulanya ke masjid terletak kira-kira 15 meter dari sungai berkenaan bersama kakak dan abangnya, Shuhaida Ibrahim, 17, dan Idham, 12, menunaikan solat Tarawih sebelum terjatuh ke dalam sungai berkeluasan 15 meter lebar dan tiga meter itu.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Bomba I, Mohd Yunus Abu berkata, operasi tamat pada 1 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah.

Ini kejadian kedua membabitkan kanak-kanak lemas di sungai dalam tempoh 24 jam di Kedah selepas kanak-kanak perempuan berusia enam tahun lemas di Sungai Pering, berdekatan rumahnya di Batu 3/12 Jalan Kodiang-Sanglang, Kodiang malam Selasa lalu.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 2:19am
d