utama

Alhamdulillah...dah jumpa

Oleh Ayusliza Azizan

TIDAK sampai sejam berita kehilangan pemuda orang kurang upaya (OKU), Musa Albakri Johari, 33, disiarkan dalam laman web Harian Metro (HM), myMetro, dia ditemui orang awam di Kampung Melayu Subang petang hari ini dalam keadaan selamat.

Kakak iparnya, Nor Amani Shahruddin, 36, berkata, dia menerima pesanan melalui aplikasi Whatsapp pada 4.30 petang daripada orang awam bernama Ika memberitahu ada ternampak Musa selepas melihat berita mengenainya dalam laman web HM.

"Sejurus dimaklumkan penemuannya, saya terus ke sana (Kampung Melayu Subang) dan menemui Ika.

"Ika kemudian menunjukkan lokasi Musa dan ketika jumpa dia sedang makan di tepi bangunan kedai.

"Mungkin kedai mamak kawasan itu beri dia makan," katanya di sini hari ini.

Kisah kehilangan Musa Albakri dipaparkan dalam myMetro jam 3.26 petang tadi sebelum diketahui Ika yang kemudian menghubungi Nor Amani pada 4.30 petang.

Sebelum itu pemuda berkenaan dilaporkan hilang sejak 20 Mei lalu selepas keluar dari rumahnya di Padang Jawa, Klang dan hingga ke hari ini masih belum ditemui.

Berita kehilangan Musa Albakri turut tular di laman sosial dan keluarganya meminta orang ramai yang menemuinya segera menghubungi mereka.

Sementara itu Nor Amani turut mengucapkan terima kasih kepada HM atas bantuan yang diberikan sehingga adik iparnya ditemui.

"Terima kasih HM dan Ika serta mereka yang membantu, dalam tempoh singkat Musa berjaya ditemui," katanya.

Dalam pada itu Nor Amani berkata, keadaan Musa Albakri sihat cuma tidak terurus.

Nor Amani berkata, orang awam kawasan itu juga memberitahu Musa sudah beberapa hari di kawasan itu dan langsung tidak mengganggu mereka.

Katanya, dalam perjalanan pulang, Musa memberitahu dia ke sana dengan menaiki bas dan apabila penumpang turun, dia pun turut berbuat demikian.

"Ketika kami sampai di rumah di Padang Jawa, ibu mentua Maznah Abd Rashid, 60, sangat gembira selepas Musa ditemui.

"Emak terus menerpa dan mencium Musa dengan linangan air mata," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 11:57pm
d