utama

Yang cacat penglihatan gigih mengaji, kita? [METROTV]

Oleh Mohd Hanafis Abd Haris

MESKIPUN hidup dalam 'dunia gelap' dan serba kekurangan, ia bukan penghalang bagi wanita orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan ini menggunakan masa yang terluang pada bulan penuh mulia dengan membaca ayat suci al-Quran.

Takkala jari jemarinya laju menyentuh susunan titik braille al-Quran, suaranya pula lantang mengalunkan bait-bait ayat suci dari surah terpilih.

Bekerja sebagai tukang urut pula bagaikan kais pagi makan pagi, kais malam makan malam kerana duit pembelanjaan hariannya hanya bergantung pada jumlah pelanggan yang berkunjung.

Bagaimanapun Rosmawati Mohamad, 38, berkata, itu bukan alasan untuk golongan sepertinya melupakan saham akhirat khususnya pada bulan Ramadan, malah dia sedaya upaya cuba mengamalkan bacaan al-Quran sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Menceritakan perjalanan kisahnya, Rosmawati berkata, dia mula mempelajari al-Quran seawal tujuh tahun ketika dia dihantar ke sekolah khas di Johor Bahru oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).Menurutnya, biarpun peringkat awalnya berhadapan sedikit kesukaran, namun ia bukan 'tiket' untuk dirinya menjaja kekurangan diri dan memberi alasan untuk tidak membaca al-Quran.

"Malah semua halangan dan kesukaran dapat diatasi hasil dorongan keluarga dan rakan-rakan senasib," katanya yang berasal dari Terengganu.

Menurut Rosmawati, bulan Ramadan juga adalah bulan yang amat dinanti-nantikan.

"Bekerja sebagai tukang urut di Medan Majlis Amanah Rakyat (Mara) Brickfields pada bulan puasa ini sebenarnya agak suram. Selalunya bulan puasa ini pelanggan yang datang mengurut tidak ramai.

"Jika pada hari biasa pelanggan enam hingga tujuh orang, namun bulan puasa mungkin hanya satu dua saja. Jadi masa yang terluang saya gunakan sepenuhnya dengan mengaji al-Quran," katanya.

Menurutnya, dia selalunya akan membaca al-Quran dua kali sehari iaitu setiap pagi selepas subuh dan juga selepas maghrib.

"Selalunya saya akan baca surah seperti Al Kahfi dan juga Yasin kerana surah ini banyak memberikan saya ketenangan," katanya ketika ditemui di pejabat Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia di Brickfields, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini dia masih mengambil kelas agama di Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) bagi mempertingkatkan ilmu bacaannya.

"Malah saya kini sedang belajar untuk memahami maksud bait ayat-ayat suci al-Quran dengan lebih terperinci," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 12:33am
d