utama

Bukan saja-saja letak kepala sekali [METROTV]

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

PENJUAL arnab panggang di Bazar Ramadan Kampung Guntong Luar di Permaisuri mendakwa dia menjual termasuk dengan kepala haiwan itu kerana ia juga mempunyai isi daging yang boleh dimakan.

"Saya tidak ada masalah walaupun ada yang kecam mengenainya selepas gambar arnab panggang yang dijual di gerai bazar Ramadan kami tular di Facebook (FB).

"Ada orang luar tidak tahu bahawa kepala arnab boleh juga dimakan. Mungkin yang tidak tahu akan berasa tidak selesa mengenainya.

"Memang ada pelanggan kami yang tidak mahu bahagian kepala dan mereka beritahu, justeru kami hanya bungkus bahagian badan untuk mereka tetapi untuk penggemar daging arnab yang tahu mereka juga mahu dengan kepalanya sekali," kata Mohd Ebbie Shafiran Zahari, 27, yang ditemui, hari ini.

Sejak kelmarin, gambar dua arnab panggang tular di Facebook hingga mendapat perhatian netizen hingga ada yang menuduh peniaga berkenaan menjual kucing dan anjing panggang kerana bentuknya yang seakan-akan sama.

Peniaga berkenaan turut dikecam kerana menjual arnab panggang berkenaan tanpa memotong kepalanya sekali gus ada pihak yang mempertikaikannya.

Mengenai idea untuk menjual arnab panggang itu, juruteknologi makmal Klinik Kuala Besut itu berkata, ia berlaku secara kebetulan kerana dia sendiri adalah penggemar daging arnab.

Menurutnya, pada peringkat awalnya gerai ibunya, Maziah Mat, 48, di bazar Ramadan itu hanya menjual ayam panggang, nasi berlauk ayam panggang dan kuih.

"Menu arnab panggang yang dijual ini bermula gara-gara saya yang juga penggemar arnab memanggang tiga arnab untuk makanan berbuka puasa sendiri pada hari ketujuh Ramadan lalu.

"Ketika saya sedang angkat arnab yang sudah masak dari dalam dapur memanggang ada pelanggan melihatnya dan kemudiannya berminat untuk membeli.

"Keesokkan harinya kami panggang empat lagi arnab untuk diagih-agihkan kepada kenalan di bazar bagi sama-sama merasa," katanya yang mendakwa resepi berkenaan adalah daripada ibunya sendiri.

Mohd Ebbie berkata, arnab panggang mula dijual secara rasmi pada Rabu lalu bermula lima ekor dan meningkat kepada 10 ekor pada hari kedua.

"Jika diikutkan selepas arnab panggang mula tular di media sosial, saya sudah menerima tempahan kira-kira 30 ekor hingga ada yang telefon dari Johor dan Pahang untuk mendapatkannya tetapi kami terpaksa menolak disebabkan sukar untuk menghantarnya," katanya.

Menurutnya, arnab panggang dijualnya itu dimasak dalam dapur memanggang bersaiz besar yang mampu memuatkan 16 arnab pada satu-satu masa.

Katanya, dia akan mengambil masa antara satu jam setengah hingga dua jam untuk arban itu masak dan mendapatkan tekstur dagingnya yang lembut dan sedap dimakan.

"Biasanya kami akan mula memanggang selepas Zohor dan ketika ini kami terpaksa hadkan tempahan kira-kira 10 ekor sehari bergantung kepada bekalan daging segar arnab yang diperoleh dari pembekal tempatan di Kampung Pak Kancil.

"Harga jualan arnab panggang bergantung kepada saiz kecil dan besar iaitu antara RM45 hingga RM60 kerana pasaran daging kini meningkat," katanya.

Menurutnya, dia sebelum ini agak risau untuk memperkenalkan menu kegemarannya itu kepada orang ramai tetapi apabila melihat sambutan menggalakkan menyebabkannya yakin makanan itu boleh diketengahkan.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 11:27pm
d