utama

Ditipu RM4.5 juta daripada e-mel

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SYARIKAT minyak kapal di Sungai Petani kerugian RM4.5 juta akibat ditipu sindiket yang menggodam e-mel pembekal minyak untuk syarikat berkenaan sebelum meminta bayaran dimasukkan ke dalam akaun mereka pada 31 Mei dan 2 Jun lalu.

Ketua Polis negeri Datuk Asri Yusoff berkata, pihaknya menerima dua laporan daripada syarikat itu pada Khamis dan semalam berhubung kes berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati syarikat itu menjadi mangsa sindiket penipuan yang dipercayai menggunakan teknologi emel spoofing (sorok identiti) dan memasukkan perisian 'spyware' ke dalam sistem komputer mangsa sebelum memperoleh salinan segala hubungan e-mel syarikat itu.

"Biasanya syarikat itu membuat pembelian minyak di Singapura, namun pada 31 Mei lalu, mereka menerima e-mel yang kononnya dari syarikat pembekal di Singapura supaya membuat pembayaran ke sebuah bank di Greensboro, Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$309,000 (RM1.3 juta).

"Namun pada 2 Jun lalu, syarikat pengadu menerima e-mel kedua dengan mengarahkan pembelian ke atas nama sebuah syarikat di Hong Kong bernilai AS$760,000 (RMRM3.2 juta).

"Bagaimanapun, selepas membuat pembayaran, pengadu kemudian dihubungi pihak pembekal sebenar untuk menuntut dua bayaran berkenaan.

"Apabila disemak, pengadu menyedari e-mel yang diterima sebelum ini bukan daripada pihak pembekal sebenar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, hari ini.

Asri berkata, pengarah syarikat terbabit kemudian membuat laporan berhubung kes itu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, IPK negeri.

Beliau berkata, ini adalah kes pertama yang diterima pihaknya di negeri ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana percaya lebih banyak syarikat akan menjadi mangsa penipuan teknologi spoofing seperti ini kerana modus operandi yang digunakan amat mudah untuk menarik minat mangsa.

"Kita juga akan bekerjasama dengan polis antarabangsa untuk menjalankan siasatan berhubung kes ini kerana ia mempunyai rangkaian sindiket penipuan antarabangsa," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2017 @ 3:33pm
d