utama

Pemandu treler direman

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Abnor Hamizam Abd Manap

PEMANDU treler direman empat hari bermula hari ini berhubung kemalangan menyebabkan lapan maut termasuk enam rentung di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Risda Palong, semalam.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali di Mahkamah Majistret Bahau.

Suspek, 44, yang memakai baju lokap jingga tiba di mahkamah pada 9.10 pagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, berdasarkan semakan lelaki terbabit mempunyai satu saman trafik lampau manakala ujian saringan air kencing negatif.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dari arah Keratong menghala Bahau dipercayai cuba memotong motosikal membawa tong aiskrim tetapi gagal sebelum ia membrek secara mengejut untuk mengelak melanggar motosikal berkenaan.

Tindakan pemandu membrek secara mengejut menyebabkan treler ‘membuang’ lalu memasuki laluan bertentangan.

Pada masa sama, Perodua Myvi dari arah bertentangan cuba mengelak merempuh treler berkenaan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Vios.

Sebuah lagi kenderaan pula iaitu Proton Exora yang dipercayai dinaiki enam sekeluarga yang datang dari arah Bahau ke Keratong cuba mengelak Myvi yang terbabas di hadapannya tetapi gagal lalu terperosok ke bawah treler berkenaan dan terbakar.

Mangsa yang maut ialah Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 51; Masnoraida M Yusoff, 45; Wan Muhammad Muhaimmin, 22; Wan Nor Athira, 18; Wan Mohd Ammar Haziq, 13; dan Wan Nur Aiesya, 7; serta pemandu Myvi Osman Mohamed Taip, 31; dan isterinya, Rosniza Othman, 32.

Berita berkaitan:

[UPDATE] 'Semua ahli keluarga saya sudah tiada...'

'[UPDATE] 'Api marak, betul-betul bawah treler...'

[UPDATE] Seorang lagi ditemui rentung, 8 maut [METROTV]

7 maut, 5 daripadanya rentung

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 11:33am
d