utama

[UPDATE] Kebumi dalam satu liang lahad

Oleh Muhamaad Razis Ismail

JENAZAH enam beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Risda Palong, semalam akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jelawat, Bachok.

Enam beranak yang maut ialah Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 51; Masnoraida M Yusoff, 45; Wan Muhammad Muhaimmin, 22; Wan Nor Athira, 18; Wan Mohd Ammar Haziq, 13; dan Wan Nur Aiesya, 7;.

Dua lagi yang maut pemandu Myvi Osman Mohamed Taip, 31, dan isteri Rosniza Othman, 32.

Abang ipar arwah Wan Mohd Fauzi, Azmi Hamzah, 59, berkata, persiapan sedang dilakukan di tanah perkuburan berkenaan.

"Sebaik tiba nanti, jenazah akan dibawa ke Masjid Naim, Jelawat untuk disembahyangkan sebelum terus dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seberang Jelawat.

"Saya difahamkan bedah siasat masih dijalankan di Hospital Jempol, Negeri Sembilan dan kita jangkakan jenazah akan tiba pada waktu malam

"Semua jenazah akan dikebumikan dalam satu liang lahad," katanya ketika ditemui di Kampung Padang Pak Amin, Bachok, hari ini.

Azmi berkata, dia mengetahui kejadian selepas dihubungi anak saudaranya Wan Muhamad Hazim, 19, pada jam 7 malam.

"Kali terakhir saya bertemu dengan keluarga arwah sebelum puasa di Putrajaya dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan.

"Pemergiannya amat kami rasai namun kami reda dengan ketentuan ilahi," katanya.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dari arah Keratong menghala Bahau dipercayai cuba memotong motosikal membawa tong aiskrim tetapi gagal sebelum ia membrek secara mengejut untuk mengelak melanggar motosikal berkenaan.

Tindakan pemandu membrek secara mengejut menyebabkan treler ‘membuang’ lalu memasuki laluan bertentangan.

Pada masa sama, Perodua Myvi dari arah bertentangan cuba mengelak merempuh treler berkenaan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Vios.

Sebuah lagi kenderaan pula iaitu Proton Exora yang dipercayai dinaiki enam sekeluarga yang datang dari arah Bahau ke Keratong cuba mengelak Myvi yang terbabas di hadapannya tetapi gagal lalu terperosok ke bawah treler berkenaan dan terbakar.

Berita berkaitan:

Suasana pilu di bilik mayat Hospital Jempol

Pemandu treler direman

[UPDATE] 'Semua ahli keluarga saya sudah tiada...'

'[UPDATE] 'Api marak, betul-betul bawah treler...'

[UPDATE] Seorang lagi ditemui rentung, 8 maut [METROTV]

7 maut, 5 daripadanya rentung

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 1:12pm
d