utama

Api sambar muka

Oleh Hadzlihady Hassan

MALANG buat seorang budak lelaki apabila mukanya disambar api ketika mahu mencucuh meriam buluh dalam kejadian di Sungai Lokan, Kepala Batas, dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa yang berusia 10 tahun cuba menyalakan api sumbu meriam terbabit menggunakan pemetik api.

Menurut sumber, ketika sedang menyalakan pemetik api, secara tiba-tiba api meriam buluh terbabit marak dan menyambar mukanya hingga membuatkan mangsa terjatuh dan meronta menahan kesakitan.

"Difahamkan, budak terbabit baru pertama kali bermain meriam karbaid dan ketika itu ada beberapa remaja dan lelaki dewasa di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, api marak dengan pantas dan menyambar mukanya ketika dia mahu menyalakan meriam yang selalunya dicucuh menggunakan kayu," katanya.

Sumber itu berkata, mangsa yang meronta kesakitan dibawa pulang oleh beberapa penduduk sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

"Ketika kejadian, ibunya sedang menyiapkan hidangan untuk berbuka dan wanita terbabit yang terkejut melihat keadaan anaknya membawa mangsa ke bilik air untuk dimandikan.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya dan doktor mencuci kulit mukanya sebelum dia dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut," katanya.

Mangsa anak ketiga daripada empat beradik itu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 5:49pm
d